GurUku AWEsoMe!!!
Di pagi yang dingin, kelihatan Ustaz Halim
memasuki perkarangan sekolah sambil melambai tangan kepada pengawal. Setelah
memarkir keretanya, dia berjalan penuh semangat ke pagar sekolah. Aku memerhati
sekeliling. Guru-guru lain belum sampai lagi. Awalnya dia datang. Bisik hatiku.
Boleh dikatakan setiap minggu mesti dia sampai awal dan menyambut murid di
pagar. Dia menyambut mereka dengan senyuman dan wajah yang begitu ceria.
Kebanyakan murid yang bersalaman dengannya, pasti diberi kata-kata motivasi.
‘Kamu budak yang pandai, belajar bersungguh-sungguh’. Begitulah aura kata-kata
yang seringkali didengariku.
Aku
menyapanya, ‘Awalnya cikgu datang?’ Hanya senyuman jawapannya. Walaupun umurnya
sudah menjangkau 38 tahun, namun semangatnya begitu kental. Dia selalu datang
awal ke sekolah. Sikapnya ini mengingatkanku akan pepatah Melayu iaitu, ‘Masa
itu emas’. Dalam al-Quran surah al-Asr juga ada menyebut bahawa orang
yang menghargai masa sentiasa berada dalam ketenangan. Sikapnya mendorongku
untuk lebih bersemangat dalam dunia pendidikan. Semangat inilah yang perlu
dicontohi oleh guru novis agar tidak jemu mendidik anak bangsa.
Kring!Kring!Kring! Loceng sudah
berbunyi. Tanpa melengahkan masa, aku melangkah laju menuju ke kelas 4 Potensi.
Dalam perjalanan, aku terlihat Ustaz Halim sudah berdiri di hadapan kelas 2
Amanah. Wah, tidak disangka, murid-murid sudah berdiri dan memberi salam
kepadanya. Walhal, ketika aku mengajar kelas ini, proses pengajaran terlewat 8
minit kerana kenakalan mereka. Maklumlah, mereka ini begitu nakal dan
hiperaktif berbanding kelas-kelas lain. Mudahnya dia mengurus mereka. Bisik
hatiku.
Dia
mengajar dengan penuh berhemah. Tidak pernah aku mendengarnya marah atau
bersikap garang terhadap murid. Walhal, sudah banyak kali aku mendengar
rungutan daripada guru-guru selepas mengajar kelas itu. “Penat sungguh mengajar
mereka. Asyraf dan Badrul bergadauh tadi. Saiful dan Adib pula bermain di
belakang kelas.” Aku tidak pernah mendengar rungutan seperti ini dari Ustaz
Halim. Sebelum masuk ke kelas, dia ceria. Begitu juga selepas PdP. Seakan-akan
ada magnet yang mengikat antara dia dan muridnya. ‘Mesti ada tip yang diamalkan
oleh guru ini.’ Fikirku.
Bagi
menjawab persoalan yang berlegar di minda, aku berbual dengannya. ‘Ustaz, saya
ada soalan hendak diutarakan kepada ustaz. Saya berasa sukar untuk mengajar
kelas 2A. Saya kagum dengan ustaz sebabnya mampu mengurus kelas itu dengan
tenang. Jadi, bolehkah ustaz kongsi tip untuk mendidik murid-murid ini?’
“Menjadi guru, perlu banyakkan bersabar. Murid yang lemah, jangan kita
pinggirkan kerana mereka ada potensi untuk berjaya. Kita tidak terjangka
sekiranya suatu hari nanti murid ini akan memimpin negara. Saya selalu
mengamalkan konsep sabar, zikir dan doa. Ketika mengajar, saya usap ubun-ubun
mereka sambil berzikir bagi melembutkan hati mereka. Alhamdulillah, kaedah ini
berkesan”.
Dia
seorang guru versatil. Gaya pengajarannya bersepadu antara ilmu, kisah, madah
dan gurauan berhikmah. Semangatnya
begitu tinggi untuk melahirkan pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat. Tiada istilah ‘rehat’ dalam kamus
kehidupannya. Siangnya menjadi pendidik, malamnya menyampaikan
ilmu di masjid. Begitulah kehidupan sehariannya yang dipenuhi dengan aktiviti
yang bermanfaat untuk kebaikan masyarakat.. Teringatku
kata-kata Dr. Mohd Nazmi bin Desa, ‘Guru yang mengajar dengan penuh semangat
menjadikan pelajar belajar tanpa kenal erti penat’.
Kesungguhannya
dalam mendidik memberi kesedaran kepadaku untuk meningkatkan prestasi murid
dalam aspek sahsiah dan pembelajaran. Walaupun guru ini sudah lama berkecimpung
dalam pendidikan, namun keazamannya begitu tinggi. Dia sentiasa mencari idea
untuk melakukan inovasi dalam pengajaran, menerapkan unsur teknologi maklumat
dan melakukan projek bersama pelajar. Banyak perkara sudahku pelajari
daripadanya. Baginya, seorang guru perlu memahami gaya pembelajaran dan tahap
kecerdasan murid-murid bagi memastikan strategi yang digunakan bersesuaian
dengan tahap mereka.
Di dalam kelas,
dia sentiasa memberi bimbingan dan motivasi kepada para pelajar. Pengajarannya
mudah dan santai. Baginya, murid lebih berminat belajar dalam suasana yang
kondusif. Oleh itu, pengajaran perlu dijalinkan dengan kaedah yang dinamik
seperti kaedah bermain, menyanyi dan bercerita. Peta minda juga sesuai
diaplikasikan bagi meningkatkan daya ingatan murid. Begitulah pesanannya
kepadaku. Aku teringat ketika penyeliaan oleh pensyarah pembimbing semasa
semester 6. Ketika itu, aku berasa gusar. Dialah yang menenangkan aku dengan
memberi kata motivasi untuk lebih berkeyakinan.
Dia juga seorang yang komited, ikhlas, sanggup berkorban masa dan
tenaga serta bertanggungjawab terhadap tugas. Setiap program yang diadakan di
sekolah, pasti dia orang pertama yang bertungkus lumus bagi menjayakannya. Ketika
aktiviti Perkhemahan Unit Beruniform, dia sanggup tidur di sekolah bersama
murid-murid walaupun bukan gilirannya. Ini menunjukkan dia begitu bersungguh-sungguh
melaksanakan kerja tanpa berpeluk tubuh dan mengharapkan bantuan orang lain.
Komitmen yang ditunjukkan menjadi inspirasi kepada guru-guru lain.
Dialah guru, ustaz dan motivator. Di sekolah, dia bergiat aktif
dalam Panitia Pendidikan Islam. Dia sentiasa melatih murid untuk Majlis Tilawah
al-Quran yang diadakan pada setiap tahun. Kepakarannya dalam nasyid, hafazan
dan tilawah memudahkannya membimbing mereka. Kemahirannya bermain alat muzik
seperti kompang menarik minat murid untuk mempelajarinya. Apa yang penting
baginya adalah pengalaman murid dalam setiap pertandingan yang diikuti. Menang
atau kalah itu adalah adat pertandingan. Semangat begini perlu dicontohi oleh
para guru termasuklah guru novis agar aktif di sekolah.
Sepanjang aku mengenalinya, tidak pernah kulihat dia sedih atau
kecewa. Hanya senyuman dan keceriaan terpancar di wajahnya. Mustahil guru ini
tidak menghadapi sebarang masalah sedangkan setiap insan sentiasa diuji. Aku
pernah menyoalnya akan perihal ini. Jawabnya, ‘Kita sebagai manusia perlu
berfikiran terbuka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi’. Setiap masalah
dan kesusahan itu sudah pasti ada jalan penyelesaiannya. Berpeganglah pada ayat
al-Quran daripada surah al-Insyirah ayat ke-6 yang bermaksud:“ sesungguhnya
bersama-sama kesusahan itu adalah kesenangan”. Dengan ini, kita dapat hidup
dalam suasana yang tenang walaupun dihimpit dengan kesulitan’.
Satu lagi sifat yang aku kagumi adalah kasih sayangnya terhadap
murid-murid. Cara dia melayan para pelajar sama seperti layanannya terhadap
anak-anaknya. Mereka dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Setiap
murid dilayan dengan baik tanpa mengira latar belakang. Sikapnya ini memudahkan
murid mendekatinya dan percaya terhadapnya. Mereka menjadikannya sebagai tempat
rujukan untuk berkongsi masalah samada masalah keluarga atau pelajaran. Dengan
ini, hubungan antara Ustaz Halim dan muridnya lebih erat.
Begitulah sahsiah dan peribadi Ustaz Halim. Orangnya sentiasa
mengamalkan nilai-nilai keguruan dalam kerjayanya. Setiap tugasnya dilaksanakan
dengan amanah dan bertanggungjawab bagi menghasilkan kerja yang berkualiti.
Pengorbanannya amat bernilai dan disanjungi. Guru oh guru! Begitu mulianya
hatinya, sanggup berkorban demi anak bangsa. Cita-citanya mahu melihat generasi
akan datang berjaya. Moga harapannya menjadi kenyataan.
‘Guru bertugas
tak kira masa,
Di mana-mana
menabur jasa,
Membina insan
gagah perkasa,
Mencapai
wawasan membangun nusa.’












































