Friday, 18 December 2015


        GurUku AWEsoMe!!!

              Di pagi yang dingin, kelihatan Ustaz Halim memasuki perkarangan sekolah sambil melambai tangan kepada pengawal. Setelah memarkir keretanya, dia berjalan penuh semangat ke pagar sekolah. Aku memerhati sekeliling. Guru-guru lain belum sampai lagi. Awalnya dia datang. Bisik hatiku. Boleh dikatakan setiap minggu mesti dia sampai awal dan menyambut murid di pagar. Dia menyambut mereka dengan senyuman dan wajah yang begitu ceria. Kebanyakan murid yang bersalaman dengannya, pasti diberi kata-kata motivasi. ‘Kamu budak yang pandai, belajar bersungguh-sungguh’. Begitulah aura kata-kata yang seringkali didengariku.
            Aku menyapanya, ‘Awalnya cikgu datang?’ Hanya senyuman jawapannya. Walaupun umurnya sudah menjangkau 38 tahun, namun semangatnya begitu kental. Dia selalu datang awal ke sekolah. Sikapnya ini mengingatkanku akan pepatah Melayu iaitu, ‘Masa itu emas’. Dalam al-Quran surah al-Asr juga ada menyebut bahawa orang yang menghargai masa sentiasa berada dalam ketenangan. Sikapnya mendorongku untuk lebih bersemangat dalam dunia pendidikan. Semangat inilah yang perlu dicontohi oleh guru novis agar tidak jemu mendidik anak bangsa.          
Kring!Kring!Kring! Loceng sudah berbunyi. Tanpa melengahkan masa, aku melangkah laju menuju ke kelas 4 Potensi. Dalam perjalanan, aku terlihat Ustaz Halim sudah berdiri di hadapan kelas 2 Amanah. Wah, tidak disangka, murid-murid sudah berdiri dan memberi salam kepadanya. Walhal, ketika aku mengajar kelas ini, proses pengajaran terlewat 8 minit kerana kenakalan mereka. Maklumlah, mereka ini begitu nakal dan hiperaktif berbanding kelas-kelas lain. Mudahnya dia mengurus mereka. Bisik hatiku.
            Dia mengajar dengan penuh berhemah. Tidak pernah aku mendengarnya marah atau bersikap garang terhadap murid. Walhal, sudah banyak kali aku mendengar rungutan daripada guru-guru selepas mengajar kelas itu. “Penat sungguh mengajar mereka. Asyraf dan Badrul bergadauh tadi. Saiful dan Adib pula bermain di belakang kelas.” Aku tidak pernah mendengar rungutan seperti ini dari Ustaz Halim. Sebelum masuk ke kelas, dia ceria. Begitu juga selepas PdP. Seakan-akan ada magnet yang mengikat antara dia dan muridnya. ‘Mesti ada tip yang diamalkan oleh guru ini.’ Fikirku.
            Bagi menjawab persoalan yang berlegar di minda, aku berbual dengannya. ‘Ustaz, saya ada soalan hendak diutarakan kepada ustaz. Saya berasa sukar untuk mengajar kelas 2A. Saya kagum dengan ustaz sebabnya mampu mengurus kelas itu dengan tenang. Jadi, bolehkah ustaz kongsi tip untuk mendidik murid-murid ini?’ “Menjadi guru, perlu banyakkan bersabar. Murid yang lemah, jangan kita pinggirkan kerana mereka ada potensi untuk berjaya. Kita tidak terjangka sekiranya suatu hari nanti murid ini akan memimpin negara. Saya selalu mengamalkan konsep sabar, zikir dan doa. Ketika mengajar, saya usap ubun-ubun mereka sambil berzikir bagi melembutkan hati mereka. Alhamdulillah, kaedah ini berkesan”.            
            Dia seorang guru versatil. Gaya pengajarannya bersepadu antara ilmu, kisah, madah dan gurauan berhikmah. Semangatnya begitu tinggi untuk melahirkan pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat. Tiada istilah ‘rehat’ dalam kamus kehidupannya. Siangnya menjadi pendidik, malamnya menyampaikan ilmu di masjid. Begitulah kehidupan sehariannya yang dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat untuk kebaikan masyarakat.. Teringatku kata-kata Dr. Mohd Nazmi bin Desa, ‘Guru yang mengajar dengan penuh semangat menjadikan pelajar belajar tanpa kenal erti penat’.
            Kesungguhannya dalam mendidik memberi kesedaran kepadaku untuk meningkatkan prestasi murid dalam aspek sahsiah dan pembelajaran. Walaupun guru ini sudah lama berkecimpung dalam pendidikan, namun keazamannya begitu tinggi. Dia sentiasa mencari idea untuk melakukan inovasi dalam pengajaran, menerapkan unsur teknologi maklumat dan melakukan projek bersama pelajar. Banyak perkara sudahku pelajari daripadanya. Baginya, seorang guru perlu memahami gaya pembelajaran dan tahap kecerdasan murid-murid bagi memastikan strategi yang digunakan bersesuaian dengan tahap mereka.
            Di dalam kelas, dia sentiasa memberi bimbingan dan motivasi kepada para pelajar. Pengajarannya mudah dan santai. Baginya, murid lebih berminat belajar dalam suasana yang kondusif. Oleh itu, pengajaran perlu dijalinkan dengan kaedah yang dinamik seperti kaedah bermain, menyanyi dan bercerita. Peta minda juga sesuai diaplikasikan bagi meningkatkan daya ingatan murid. Begitulah pesanannya kepadaku. Aku teringat ketika penyeliaan oleh pensyarah pembimbing semasa semester 6. Ketika itu, aku berasa gusar. Dialah yang menenangkan aku dengan memberi kata motivasi untuk lebih berkeyakinan.
Dia juga seorang yang komited, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga serta bertanggungjawab terhadap tugas. Setiap program yang diadakan di sekolah, pasti dia orang pertama yang bertungkus lumus bagi menjayakannya. Ketika aktiviti Perkhemahan Unit Beruniform, dia sanggup tidur di sekolah bersama murid-murid walaupun bukan gilirannya. Ini menunjukkan dia begitu bersungguh-sungguh melaksanakan kerja tanpa berpeluk tubuh dan mengharapkan bantuan orang lain. Komitmen yang ditunjukkan menjadi inspirasi kepada guru-guru lain.
Dialah guru, ustaz dan motivator. Di sekolah, dia bergiat aktif dalam Panitia Pendidikan Islam. Dia sentiasa melatih murid untuk Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan pada setiap tahun. Kepakarannya dalam nasyid, hafazan dan tilawah memudahkannya membimbing mereka. Kemahirannya bermain alat muzik seperti kompang menarik minat murid untuk mempelajarinya. Apa yang penting baginya adalah pengalaman murid dalam setiap pertandingan yang diikuti. Menang atau kalah itu adalah adat pertandingan. Semangat begini perlu dicontohi oleh para guru termasuklah guru novis agar aktif di sekolah.
Sepanjang aku mengenalinya, tidak pernah kulihat dia sedih atau kecewa. Hanya senyuman dan keceriaan terpancar di wajahnya. Mustahil guru ini tidak menghadapi sebarang masalah sedangkan setiap insan sentiasa diuji. Aku pernah menyoalnya akan perihal ini. Jawabnya, ‘Kita sebagai manusia perlu berfikiran terbuka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi’. Setiap masalah dan kesusahan itu sudah pasti ada jalan penyelesaiannya. Berpeganglah pada ayat al-Quran daripada surah al-Insyirah ayat ke-6 yang bermaksud:“ sesungguhnya bersama-sama kesusahan itu adalah kesenangan”. Dengan ini, kita dapat hidup dalam suasana yang tenang walaupun dihimpit dengan kesulitan’.
Satu lagi sifat yang aku kagumi adalah kasih sayangnya terhadap murid-murid. Cara dia melayan para pelajar sama seperti layanannya terhadap anak-anaknya. Mereka dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Setiap murid dilayan dengan baik tanpa mengira latar belakang. Sikapnya ini memudahkan murid mendekatinya dan percaya terhadapnya. Mereka menjadikannya sebagai tempat rujukan untuk berkongsi masalah samada masalah keluarga atau pelajaran. Dengan ini, hubungan antara Ustaz Halim dan muridnya lebih erat.
          Begitulah sahsiah dan peribadi Ustaz Halim. Orangnya sentiasa mengamalkan nilai-nilai keguruan dalam kerjayanya. Setiap tugasnya dilaksanakan dengan amanah dan bertanggungjawab bagi menghasilkan kerja yang berkualiti. Pengorbanannya amat bernilai dan disanjungi. Guru oh guru! Begitu mulianya hatinya, sanggup berkorban demi anak bangsa. Cita-citanya mahu melihat generasi akan datang berjaya. Moga harapannya menjadi kenyataan.

‘Guru bertugas tak kira masa,
Di mana-mana menabur jasa,
Membina insan gagah perkasa,

Mencapai wawasan membangun nusa.’